Saturday, September 29, 2012

FAS rantai Joseph, Ronny lanjut kontrak Alberts



KUCHING: Desas-desus mengenai perpindahan Joseph Kallang Tie ke Sarawak terjawab semalam apabila Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengesahkan pemain kebangsaan itu akan menyarung jersi Sarawak bagi musim depan.

Presidennya, Datu Sudarsono Osman berkata pihaknya telah mencapai persetujuan dengan pengurusan Terengganu bagi membolehkan Joseph kembali beraksi dengan skuad Ngap Sayot bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia 2013.

“FAS dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Joseph (Kallang) akan beraksi untuk Sarawak pada musim depan. Ini berita gembira untuk seluruh peminat pasukan Sarawak dalam misi mengembalikan maruah pasukan kita dalam kancah Liga Perdana 2013 nanti,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, di sini semalam.

Sudarsono berharap pengalaman yang dimiliki Joseph selama tiga tahun bersama pasukan Terengganu dan kebangsaan dapat membantu menguatkan pasukan Sarawak musim depan.

Beliau berkata Joseph adalah contoh terbaik untuk generasi muda (pemain) dan kualiti yang ada pada pemain berusia 25 tahun itu mampu membantu memantapkan pasukan Sarawak.

Sementara itu, FAS turut mengikat seorang lagi pemain berkaliber iaitu Ronny Harun yang dipinjam selama tiga bulan bagi mengharungi cabaran Piala Malaysia musim ini.

Pemain dari Sabah itu telah memikat hati ketua jurulatih, Robert Alberts setelah menunjukkan permainan yang memberangsangkan di bahagian pertahanan.

“Kehadiran Ronny amat diperlukan bagi menguatkan posisi pertahanan pasukan kita pada musim depan,” kata Sudarsono turut mengumumkan Alberts akan terus kekal menerajui Sarawak musim depan.

Menurutnya, FAS mempunyai pelan jangka masa panjang dengan jurulatih import itu dalam usaha mengembalikan kegemilangan Sarawak sekali gus kembali semula ke Liga Super 2014.

“Fokus kita adalah memantapkan pasukan untuk kembali ke Liga Super dan kita bersetuju untuk melanjutkan kontrak Alberts kerana diyakini mampu membantu kita mencapai sasaran itu,” katanya.

Sudarsono menambah FAS masih dalam proses mencari penyerang baik tempatan mahupun dari luar negara untuk mengisi kekosongan bahagian serangan setelah kontrak Joel Epalle ditamatkan.

Sementara itu, kontrak tiga pemain import tempatan dilanjutkan setelah mereka menunjukkan permainan yang baik sepanjang musim. Pemain-pemain itu ialah Ramesh Lai Ban Huat, Sani Anuar Kamsani dan Azizan Baba. Kontrak bagi semua pemain Sarawak masih dikekalkan.

Sumber : Utusan Borneo

Spurs tamat kemarau kemenangan di Old Trafford


MANCHESTER 30 Sept. - Tottenham Hotspur menamatkan penantian 23 tahun untuk mencipta kemenangan di Old Trafford apabila bergaya menewaskan Manchester United di gelanggang keramat mereka 3-2 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal hari ini.

Gol-gol jaringan Jan Vertonghen, Gareth Bale dan Clint Dempsey memberikan mata berharga buat kelab itu yang kini di bawah bimbingan pengurus Andre Villas Boas.

Kelab London itu naik ke tangga kelima liga manakala United pula turun ditangga ketiga, empat mata di belakang pendahulu Chelsea. - AFP

Sumber : Utusan Malaysia


Chelsea lebur rekod Arsenal


Fernando Torres

LONDON - Chelsea mengekalkan penguasaan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meleburkan rekod tanpa kalah Arsenal dengan kemenangan 2-1 di Stadium Emirates, semalam.

Dalam pertembungan Battle Of London itu, pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny menjadi watak penting kepada kekalahan pasukannya apabila melakukan dua kesilapan yang membuka ruang kepada dua gol Chelsea yang dijaringkan oleh Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata, minit ke-53.

Koscielny gagal mengekang Torres pada situasi sepakan percuma apabila langsung tidak melihat bola yang diambil oleh Mata sebelum penyerang antarabangsa Sepanyol itu mudah menolak masuk ke dalam gawang Arsenal.

Serangan bertali arus Arsenal bagi mencari gol penyamaan membuahkan hasil melalui gerakan sebelah kanan Alex-Oxlade Chamberlain yang dapat disudahkan oleh Gervinho yang merembat cantik menewaskan Peter Cech pada minit ke-42.

Biarpun tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan, Chelsea kembali berada di hadapan melalui jaringan Mata pada minit ke-53, sekali lagi melalui situasi bola mati.

Walaupun bola rembatan Mata dilihat tidak berbahaya, tindakan Koscielny yang cuba mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya mengundang padah apabila dia gagal berbuat demikian lantas mengelirukan Vito Mannone sebelum bola melantun masuk dan kembali meletakkan Chelsea di hadapan.
Tersentak dengan jaringan itu, Arsenal meningkatkan tempo serangan, namun kecekapan Cech menafikan hajat tuan rumah apabila cemerlang menepis keluar tandukan Lukas Podolski pada minit ke-59.

Kemasukan Theo Walcott dan Olivier Giroud pada separuh masa kedua juga tidak mengubah banyak rentak perlawanan dengan pertahanan Chelsea yang diketuai John Terry terus kental bertahan.

Pada minit ke-73, Cech terus menjadi penghalang Arsenal apabila percubaan Giroud yang mengenai pertahanan Chelsea dapat ditepis oleh penjaga gol Republik Czech tersebut.

Giroud berpeluang menjadi wira Arsenal jika dapat memanfaatkan peluang terhidang pada minit terakhir permainan selepas menggelecek Cech tetapi rembatannya tersasar ke arah sebelah kiri sekali gus menafikan hajat Arsenal meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Sumber : Utusan Malaysia

Amukan Suarez julang Liverpool

Luis Suarez (kanan) melompat meraikan jaringan gol menentang Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, semalam. Liverpool menang 5-2. - AFP

NORWICH - Ledakan hatrik Luis Suarez membantu Liverpool meraih kemenangan pada musim ini selepas lima perlawanan apabila penuh bergaya membenam Norwich 5-2 di Carrow Road dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.

The Reds telah memberikan amaran seawal minit kedua perlawanan lagi apabila meraih gol hasil rembatan Suarez dari luar kotak penalti yang terus menerjah ke penjuru kiri pintu gol Norwich sebelum menambah jaringan kedua pada minit ke-38.

Sebaik dua minit separuh masa kedua bermula, Liverpool terus mengukuhkan cengkaman melalui pemain pinjaman Real Madrid, Nuri Sahin yang mudah menolak masuk hantaran Suarez dari arah sebelah kiri bagi meletakkan kedudukan 3-0.

Suarez mengesahkan jaringan hatrik pada minit ke-57 berpunca gerakan bersama dengan Nuri Sahin sebelum Steve Morison merapatkan jurang buat Norwich empat minit kemudian.

Namun, jaringan Steven Gerrard pada minit ke-68 sudah cukup buat Liverpool mematikan sisa-sisa perjuangan Norwich biarpun berjaya memperoleh gol saguhati tiga minit sebelum permainan tamat melalui Grant Holt.

Perlawanan lain pula menyaksikan Chelsea mengekalkan status mereka di tangga teratas dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates hasil jaringan Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata pada minit ke-53 manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Gervinho, minit ke-42.
Gol lewat Edin Dzeko membantu Manchester City meraih kemenangan 2-1 ke atas Fulham selepas ketinggalan seawal minit ke-10 hasil jaringan penalti Mladen Petric sebelum disamakan Sergio Aguero, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Sumber : Utusan Malaysia

Maut dipijak gajah



GERIK: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui maut dalam keadaan menyayat hati apabila bahagian dadanya cedera parah akibat dipijak seekor gajah, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi di Felda Tawai 1, mangsa yang dikenali sebagai Ngatmin, 44, ditemui terbaring di ladang getah dengan dadanya cedera parah oleh seorang rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, siasatan awal polis turut menemui beberapa jejak dan kesan tapak kaki gajah di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Kami difahamkan, mangsa adalah pekerja kontrak Felda yang juga penoreh getah di ladang itu sejak 15 hari lalu.

“Kami menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan, termasuk pihak pengurusan ladang, supaya melaporkan segera kehadiran haiwan itu bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Lelaki dayus



KUALA LUMPUR: “Suami yang tidak marah, malah merelakan isteri melakukan pekerjaan maksiat dan haram di sisi agama, adalah lelaki dayus. Dalam Islam, lelaki dayus tidak boleh masuk syurga,” kata penceramah bebas, Zawiyah Hassan.

Beliau yang juga mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sungguhpun suami meredai kerja isteri, ia tetap tidak berguna jika pekerjaan itu jelas melanggar hukum Allah.

“Suami sepatutnya mendidik isteri menjadi lebih baik, baru rumah tangga diberkati Allah. Setiap orang Islam perlu sedar, sebagai hamba, kita diikat dengan peraturan ditetapkan Allah, namun yang dilihat kini, semakin ramai mempermainkan perintah-Nya.

“Jiwa orang yang banyak berbuat dosa dan maksiat akan sentiasa terdorong melakukan perbuatan sama berulang kali atau perbuatan lebih teruk lagi, melainkan jika diberi hidayah Allah atau bertaubat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai cara hidup segelintir suami isteri di ibu kota yang ‘sekepala’ menjalani kehidupan yang disifatkan golongan terbabit sangat bahagia biarpun diselubungi noda berikutan mengutamakan hiburan dan mendapatkan wang dengan cara mudah.

Malah, pasangan baru berkahwin, Man dan Liza, turut mengaku tidak kisah dengan pekerjaan Liza sebagai pelayan pelanggan (GRO) selain diberi keizinan suaminya kerana pendapatannya lumayan hingga mencecah lebih RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, Liza baru berhenti kerja sebagai GRO sejak sebulan lalu kerana kini hamil lima minggu.

Zawiyah berkata, contoh kehidupan demikian menunjukkan pasangan itu atau pasangan seumpamanya menganggap seolah-olah Allah tiada kaitan langsung dengan hidup mereka kerana melakukan apa saja sesuka hati tanpa batasan agama.

“Nasihat saya, segera bertaubat nasuha selagi masih ada kesempatan dan cari rezeki halal kerana rezeki Allah sangat luas di dunia ini. Sanggupkah kita melahirkan zuriat dengan perangai sama kelak?” katanya.


Sumber : Harian Metro

Tindakan tegas pengusaha naikkan harga makanan




Seorang pelanggan kedai runcit di Georgetown, Pulau Pinang memerhatikan harga baru gula RM2.50 sekilogram yang akan dikuatkuasakan seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2013, kelmarin. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha restoran atau kedai makan yang menaikkan harga makanan dan minuman susulan pengumuman pengurangan subsidi gula dalam Bajet 2013 semalam.

Koordinator Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM),Wan Noor Ab. Rahman berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memantau premis-premis yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Saya yakin selepas pengumuman bajet semalam, akan ada restoran atau kedai makan menaikkan harga makanan dan minuman.

"Kami akan memantau perkara ini dan jika ada yang berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang akan mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram bermula hari ini.
Menurut Wan Noor, tindakan tersebut bagaimanapun akan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"LPKPM hanya bertindak sebagai ketua operasi dan KPDNKK yang akan mengambil tindakan dari segi undang-undang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),Datuk Dr. Maamor Osman berkata, tindakan pengusaha restoran atau kedai makan yang menaikkan harga makanan dan minuman menunjukkan sifat sebenar mereka yang tamak haloba.

Menurutnya, pengguna perlu menggunakan kuasa mereka dengan tidak memilih restoran dan kedai makan yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Dengan langkah itu, kita dapat mengajar pengusaha restoran atau kedai makan supaya tidak tamak.
"Pada masa sama, pengguna perlu melaporkan kepada pihak berkenaan jika mengesan mana-mana pengusaha yang menaikkan harga," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Skandal gambar Kate berterusan


LONDON: Hanya dua minggu lalu, dunia dikejutkan dengan penyebaran gambar separuh bogel isteri Putera William, Kate Middleton oleh majalah Perancis.
Semalam, majalah gosip Denmark, Se og H�r menyiarkan lebih banyak gambar yang memalukan bakal Permaisuri Britain berkenaan yang dirakam oleh paparazi ketika pasangan terbabit bercuti di Provence, Perancis.
Tetapi kali ini, ia lebih teruk, gambar yang disiarkan termasuk menunjukkan Kate tanpa seluar dalam.

Gambar itu disiarkan majalah terbabit selepas ia mengiklankan janji untuk menunjukkan isteri William berbogel sepenuhnya minggu lalu.


Pengarang Se og H�r, Kim Henningsen memberitahu Belfast Telegraph sebelum ini: “Ia gambar unik seorang selebriti Kelas-A. Kami adalah majalah gossip paling unggul di Denmark dan sudah menjadi tugas saya untuk menyiarkannya.


“Jika keluarga diraja Britain ingin menyaman, kami terima dan kami akan menanganinya.”

Majalah Perancis, Closer yang mula menyiarkan gambar separuh bogel Kate sudah menerima arahan mahkamah supaya tidak menyiarkannya lagi.

Malah, tiga hakim Perancis mengarahkan majalah itu menyerahkan setiap salinan digital gambar itu serta diarah membayar kos perundangan.

Bagaimanapun, ramai yang menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan tidak bermakna untuk William dan Kate kerana ketika itu, lebih 500,000 naskhah majalah itu sudahpun terjual.

Tambahan pula, keputusan itu hanya membabitkan Closer. 

Dalam pada itu, majalah gosip Amerika Syarikat, Gawker, semalam turut menyiarkan gambar seperti yang terkandung dalam Se og H�r. - DM



Sumber : Harian Metro

RM6,000 seminggu



KUALA LUMPUR: Bagi mendapat keuntungan segera dalam tempoh singkat, sekali gus mengelak kerugian jika diserbu pihak berkuasa, ada sindiket atau kumpulan tertentu memasang perangkap asmara kepada lelaki hidung belang yang kepingan gadis genit luar negara dengan menawarkan khidmat teman wanita sewaan melalui pakej ‘kekasih kontrak’.

Caranya mudah, pelanggan hanya perlu membuat bayaran tertentu dengan harga serendah RM400 sehari dan harga berkenaan boleh mencecah hingga RM6,000 seminggu berdasarkan rupa paras dan kebijaksanaan pelanggan membuat tawaran.

Selain menjadikan pelancong dan golongan kenamaan sebagai sasaran, pihak terbabit kini mula membuka ruang kepada lelaki hidung belang tempatan untuk melanggan wanita berkenaan untuk hiburan.

Sebelum ini, pakej biasa sekadar memuaskan nafsu semata-mata kerana tempahan hanya untuk beberapa jam dan sehari perkhidmatan, tapi kini dengan pakej terbaru ini, wanita boleh disewa sehingga satu minggu, malah sebulan, asalkan bayaran mengikut persetujuan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Sumber : Harian Metro

Friday, September 28, 2012

Pengadil punca kekalahan

KESAL: Daud tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.


Kickalob sekadar menduduki tempat keempat dalam Piala Borneo

KUCHING: Keputusan tidak munasabah pengadil perlawanan menjadi punca kekalahan pasukan Kicka­lob dalam Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antara­bangsa Borneo 2012 yang berakhir di Sabah, Selasa lalu.

Kickalob sekadar men­duduki tempat keempat setelah menarik diri pada per­lawanan penentuan tempat ketiga dan keempat kategori bawah 16 tahun menentang Akademi Bola Sepak Tudan Baru.

Kejohanan anjuran be­kas penyerang Sabah, Scott Ollerenshaw itu dimenangi oleh pasukan dari Australia manakala tempat kedua dis­andang pasukan TABS dari Kota Kinabalu.

Pengerusi Kickalob Daud Aba berkata beberapa kepu­tusan pengadil dalam perla­wanan itu nampak tidak adil dan menimbulkan kontro­versi sehingga menyebabkan mereka mengambil keputu­san menarik diri.

“Saya sangat kesal dengan mutu pengadilan pada perla­wanan tersebut. Kerana jelas menunjukkan kesilapan pihak penganjur dalam memilih pengadil yang benar-benar berwibawa untuk mengenda­likan perlawanan bola sepak,” katanya di sini semalam.

Daud berkata Kickaloob te­lah beberapa kali mengambil bahagian dalam Piala Borneo dan ini adalah kali pertama mereka menerima layanan yang buruk daripada pihak pengadil.

Menurutnya, pada kejo­hanan lalu pihak penganjur memilih pengadil dari Sin­gapura tetapi kali ini mereka beralih kepada pengadil tem­patan dari Sabah.

“Kita seharusnya boleh menang dalam perlawanan tersebut, jika jaringan yang dilakukan oleh pemain kita disahkan oleh pengadil.

“Selain itu, pengadil juga bersikap tidak adil dengan kerap melayangkan kad kun­ing kepada pemain-pemain Kickalob tetapi tidak mem­berikan apa-apa kad kepada pemain-pemain lawan me­skipun mereka melakukan ‘tackle’ yang berbahaya se­hingga menyebabkan beber­apa pemain kami mengalami kecederaan.”

Apa yang lebih mengecewakan ialah pemain-pemain dari pasukan lain turut menyerang pemain-pemain Kickalob untuk menyokong pasukan dari tanah air sendiri.

“Ini menyebabkan Kickalob mengambil keputusan untuk menarik diri bagi mengelak insiden lebih buruk berlaku,” kata Daud.
Menurutnya, Kickalob te­lah menunjukkan permulaan yang begitu baik dengan dua kali mencatat kemenangan dan seri sekali pada perlawa­nan peringkat kumpulan.

Mereka tewas 2-1 pada peringkat separuh akhir di tangan pasukan TABS dari Kota Kinabalu.

“Harapan saya agar pihak penganjur dapat memper­ baiki mutu pengadilan pada kejohanan akan datang.
“Selain itu, kawalan di stadium juga harus diting­katkan pada masa hadapan bagi memastikan tiada insiden buruk berlaku,” katanya.

Biarpun pulang dengan tangan kosong, Daud tetap berpuas hati dengan persem­bahan dan prestasi hebat yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

Menurutnya, corak per­mainan yang ditunjukkan oleh mereka sangat menarik den­gan peningkatan yang cukup ketara dari segi teknik serta pengawalan bola.

Beliau juga ingin mer­akamkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Sains, Te­knologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Menteri Muda Pembangunan Belia Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman, Pekema Sarawak, Sarawak Energy dan beberapa individu yang telah menaja pasukan Kickalob.

Dalam perkembangan berkaitan, Kickaloob akan mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak Piala Pusingan Pengarah Yayasan Sarawak pada 20 Oktober hingga 4 November depan.
Selain itu, pasukan terbabit juga bercadang mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan bola sepak di ibu negara, Kuala Lumpur.


Sumber : Utusan Borneo

Rooney sudah sedia kembali



Manchester: Alex Ferguson boleh memanggil semula Wayne Rooney untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Manchester United melayan kunjungan Tottenham Hotspur di Old Trafford, hari ini. 



Tetapi krisis benteng pertahanan menimbulkan kerisauan pengendali veteran itu yang minggu lalu berharap tiga pertahanan tengah senior - Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Nemanja Vidic - bebas daripada kecederaan selepas Chris Smalling dan Phil Jones masih dalam proses pemulihan. Bagaimanapun, hanya beberapa hari selepas itu, Ferguson kehilangan Vidic untuk lapan minggu selepas kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan dan United yang kini di tangga kedua kehilangan tiga daripada lima bek tengah senior mereka akibat kecederaan jangka panjang. 


Villas-Boas tekad serang United 

Kini hanya Ferdinand dan Evans saja pemain senior yang tinggal menerajui benteng United. Pemain muda, Michael Keane dan Scott Wootton turut menjadi pilihan Ferguson untuk mengisi posisi berkenaan. 

Bagaimanapun Ferguson tiada masalah di barisan depan dan kepulangan Rooney ketika kemenangan 2-1 ke atas Newcastle dalam saingan Piala Liga meluaskan lagi pilihannya mencatur jentera serangan. 
Tom Cleverley yang meledak gol pertama untuk United pada perlawanan itu juga menguatkan lagi keyakinan Ferguson ke atas barisan depannya. “Saya sering menjaringkan gol apabila dipinjamkan ke kelab lain, tetapi tidak apabila bermain untuk kelab dan negara,” kata Cleverley. 

Sementara itu, Andre Villas-Boas bertekad menyerang United seperti dilakukan musim lalu bersama Chelsea dalam perlawanan yang berakhir dengan kekalahan 3-1 untuk pengendali dari Portugal itu. 

“Itu corak permainan yang saya suka,” kata pengendali Tottenham itu. “Memang sukar bermain di sana, tetapi tidak bermakna anda tidak mendapat peluang jika bermain dengan cara begitu. Yang penting peluang untuk menjaringkan gol.” 
AFP


Sumber : Berita Harian

Chelsea kayu pengukur Arsenal


London: Arsene Wenger percaya pertemuan dengan Chelsea di Emirates hari ini akan menentukan sama ada Arsenal memiliki ramuan atau tidak untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pertemuan dua seteru London itu bertambah hangat dengan kekecewaan kapten Chelsea, John Terry yang didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) kerana menghina pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand. 

Terry digantung empat perlawanan dan denda 220,000 (RM1.1 juta) tetapi hukuman ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan dan pemain pertahanan tengah itu masih boleh beraksi bertemu Gunners. 

Bagaimanapun pengendali Arsenal, Wenger menegaskan, pemainnya harus mengabaikan masalah Chelsea dan memberi tumpuan untuk mencatat kemenangan ke atas salah satu pesaing utama mereka. 

Pengendali dari Perancis itu meletakkan perlawanan di laman sendiri menentang gergasi Inggeris itu sebagai kunci utama untuk terus berada dalam kelompok teratas liga. 

Ujian besar Arsenal 
Anak buah Wenger seri di gelanggang Manchester City hujung minggu lalu dan menang ke atas Liverpool di Anfield pada permulaan kempen, tetapi bertemu skuad kendalian Roberto di Matteo adalah ujian besar pertama di laman sendiri musim ini. 

Kami sudah mengharungi satu perlawanan besar musim ini di mana kami mendapat keyakinan menentang Man City, kata Wenger yang pasukannya kini berada empat mata di belakang pendahulu, Chelsea. 

Ini satu lagi perlawanan besar tetapi berbeza kerana kami bermain di laman sendiri. Kami sudah mengharungi lima perlawanan, tiga di tempat lawan - Stoke, Liverpool dan Man City - dan beraksi cemerlang di laman sendiri menentang pasukan besar akan memberi impak besar kepada peluang kami di dalam liga. 

Kami mempunyai tugas besar menanti dan juga harapan, sudah tentu, tetapi ia bergantung kepada aksi konsisten dan bermain secara efektif dalam perlawanan besar begini. 

Kemenangan Chelsea ke atas Stoke memastikan mereka kekal mendahului liga selepas prestasi sedikit menjunam sebelum bangkit membelasah Wolves 6-0 dalam saingan Piala Liga. 
AFP 


Sumber : Berita Harian

Tentera gagal cari bekal selesa


Marteloto (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan, Idris Karim pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi. - Foto Owee Ah Chu
Kuala Lumpur: Juara Liga Perdana, Tentera mencipta kejutan selepas merekodkan kemenangan tipis 3-2 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. 


Di babak pertama, permainan cukup seimbang dan minit ke-13, Negeri Sembilan hampir mendahului perlawanan namun tolakan K Thanaraj menuju tepat ke tiang gol tuan rumah sebelum dikeluarkan pertahanan Tentera. 



Anak buah B Sathianathan kembali memperkemaskan serangan dan hampir menemui jaringan tetapi rembatan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-22 dinafikan oleh tiang gol menjadikan separuh masa pertama berakhir dengan 0-0. 



Bersambung babak kedua, Tentera bagaikan mendapat tonik baru apabila meraih dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi Christie Jayaselan pada minit ke-56 dan diikuti jaringan hasil rembatan pemain import, Bruno Marteloto pada minit ke-66 untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan 2-0. 

Libasan Shakir legakan Hobin Jang Hobin 

Mendahului permainan dengan dua gol menyaksikan Tentera sedikit memperlahankan rentak permainan dengan lebih banyak bertahan dan hanya melakukan serangan balas setiap kali pelawat hilang bola. 

Serangan demi serangan yang dilancarkan anak buah Mohd Azraai Khor akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan penjaga gol Tentera, Farizal Harun pada minit ke-73 terkena belakang Firdaus Azizul sebelum bola melantun masuk ke dalam gawang. 

Bagaimanapun, gol Firdaus itu kembali membangkitkan semangat Tentera untuk menambah jaringan dan hasilnya enam minit kemudian penyerang prolifik, Hairuddin Omar bijak melencongkan bola ke sebelah kiri gol Negeri Sembilan untuk gol ketiga pasukannya. 

Namun, dua minit sebelum perlawanan tamat, pemain gantian, Shakir Ali menjaringkan gol cantik bagi merapatkan jurang sekali gus membolehkan mereka bernafas sedikit sebelum beraksi perlawanan suku akhir kedua di laman sendiri, Selasa ini. 

Sumber : Berita Harian

Thursday, September 27, 2012

27 rekaan kad kredit yang unik

Ada diantara kita menggunakan kad kredit sebagai alternatif kepada tunai untuk menjalankan urusan jual beli. Faktor-faktor yang menyebabkan mereka menggunakan kad kredit adalah kerana ianya memudahkan urusan jual beli, membolehkan mereka "berhutang" terlebih dahulu untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan dan sebagainya.

Syarikat-syarikat kewangan yang menawarkan kad kredit kepada pengguna menggunakan pelbagai strategi untuk menarik pelanggan mereka. Ada di antara mereka menawarkan kadar faedah yang menarik, tempoh masa yang panjang untuk pembayaran balik dan sebagainya. Tetapi ada juga syarikat yang terlebih kreatif dengan menawarkan kad kredit yang mempunyai corak reka bentuk yang unik untuk menarik perhatian pelanggan.

Ceiling Cat Credit Card The 27 Geekiest Credit Card Designs Ever

Firefox Credit Card The 27 Geekiest Credit Card Designs Ever

The Sims Credit Card

Hyperbole And Half Credit Card

Gundam Credit Card

Linux Credit Card



Fry Credit Card

Bender Credit Card

Street Fighter Credit Card

Batman Credit Card

Meme Credit Card

World Of Warcraft Credit Card

Pikachu Credit Card




Video: SYABAS vs SELANGOR


Tonton video mengenai isu Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS. Sama-samalah kita menilainya.




Manchester City tersingkir



LONDON - Penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan pasukan yang berada pada prestasi terbaik, Everton tersingkir daripada Piala Liga selepas pengurus kedua-dua kelab melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utama ketika menghadapi perlawanan pusingan ketiga semalam.

City tewas 2-4 kepada Aston Villa selepas masa tambahan dengan menurunkan skuad yang sama sekali berbeza ketika seri 1-1 dengan Arsenal Ahad lalu.

Everton pula yang melakukan enam pertukaran pemain, kecundang 1-2 kepada kelab divisyen dua, Leeds United.

Chelsea turut membuat perubahan barisan pemain semalam, tetapi masih diketuai John Terry dan berjaya melangkah ke pusingan keempat apabila melakar kemenangan 6-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge.

City, yang membariskan skuad kedua masih menyenaraikan pemain yang bernilai jutaan pound, termasuk Carlos Tevez, Jack Rodwell, James Milner, Gareth Barry dan Mario Balotelli.

Rembatan rendah yang kencang daripada Balotelli meletakkan City di depan sebelum Villa menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri Barry, yang tertampan bola ke gawang.

Aleksandar Kolarov menyempurnakan gol kedua City hasil sepakan bebas bagi membolehkan City sekali lagi berada di depan pada minit ke-64.

Gabriel Agbonlahor menyamakan buat Villa lima minit kemudian bagi memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Charles N’Zogbia meledakkan gol ketiga pasukan pelawat pada masa tambahan dan Agbonlahor menjadi pemusnah harapan tuan rumah apabila menewaskan penjaga gol City, Costel Pantilimon untuk jaringan keempat.

“Saya memang kecewa dengan keputusan ini, Aston Villa merupakan pasukan yang bagus dan kami pula kami tidak bermain baik," kata pengurus City, Mancini.

Sementara itu, pengurus Everton, David Moyes hanya mengekalkan Victor Anichebe, Seamus Coleman, Marouane Fellaini, Johnny Heitinga dan Kevin Mirallas dari skuad yang membelasah Swansea City 3-0, Sabtu lalu.

Pasukan pelawat bermula cemerlang dalam kempen Liga Perdana apabila menghuni tangga ketiga selepas lima perlawanan, tetapi wajah baru yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dipaksa bekerja keras di Elland Road.

Pemain Leeds, Aidy White meletakkan tuan rumah di depan seawal minit keempat, sebelum rakan sepasukan, Danny Pugh menggandakan kedudukan pada babak kedua permainan. Sylvain Distin menjaringkan gol sagu hati buat Everton. - REUTERS

Sumber : Utusan Malaysia

Pandelela tidak sabar ke UM


KEJAYAAN MANIS: Gambar fail menunjukkan Pandelela meraikan kejayaannya memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu wanita di Sukan Olimpik London baru-baru ini. — Gambar AFP

KUCHING: Kesibukan latihan harian tidak akan menghalang fokus ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg terhadap pengajiannya yang akan bermula tahun depan.

Sebaliknya, beliau semakin bersemangat untuk memulakan hidup baharu sebagai atlet dan pelajar.

Ketika dihubungi semalam, Pandelela berkata fokusnya kini adalah memperbaiki pencapaiannya dalam ranking dunia dan menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya (UM).

“Rutin harian saya akan lebih sibuk bermula tahun depan dengan latihan dan pengajian. Namun, saya yakin mampu untuk mengimbangi kedua-duanya dengan baik,” katanya.

“Saya yakin keputusan untuk menyambung pengajian di UM adalah tepat kerana ia adalah salah sebuah universiti terbaik dalam dunia.”

Sebelum ini Pandelela ditawar menyambung pengajian di Australia namun memilih UM atas alasan dapat meneruskan latihan dengan lebih intensif dengan jurulatih Yang Zhuling.

Ketika ini, beliau sedang menjalani latihan dengan pembantu jurulatih Zhang Yu Kun di pusat akuatik Bukit Jalil kerana Zhuling sedang melatih rakan sepasukannya Traisy Vivien Tukiet di China.

Setiap hari, beliau memulakan latihan dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan disambung dari 2 petang hingga 7.30 malam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pandelela dan penerjun-penerjun kebangsaan akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Asia ke-9 2012 dari 15-25 November depan di Dubai.


Sumber : Utusan Borneo

Nahas helikopter masih disiasat



KUCHING: Punca nahas helikopter di muara Sungai Teriso berdekatan Sebuyau Julai lalu kini masih dalam siasatan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut beliau pihaknya hanya menerima laporan awal mengenai siasatan sementara siasatan akhir masih dijalankan.

“Buat masa ini, maklumat siasatan yang diterima menyatakan cuaca buruk kemungkinan menjadi punca nahas pesawat Eurocopter EC120.

“Antara aspek yang disiasat termasuk asal helikopter, pemilik pesawat selain hala tuju penerbangan dan punca sebenar menyebabkan nahas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Pengangkutan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di sini, semalam.

Menurut Kong, laporan awal mengenai helikopter milik sebuah syarikat berpangkalan di negeri ini, mendapati ia tidak didaftarkan di Malaysia.

“Banyak pesawat yang dimiliki rakyat Malaysia didaftarkan di negara lain namun beroperasi di negara ini, tetapi ini memang kita benarkan,” tegas beliau.

Katanya salah satu penyebab pendaftaran sedemikian berlaku adalah disebabkan pembiayaan kewangan yang lebih senang daripada bank luar negara berbanding bank tempatan.

Berhubung peruntukan jaket keselamatan di dalam helikopter atau pesawat, Kong menjelaskan adalah menjadi kewajipan kepada helikopter untuk menyediakan jaket keselamatan sekiranya laluan penerbangan mereka merentasi sungai.

Dalam kejadian nahas pada 20 Julai lalu, juruterbangnya Rico Steiger, 35, seorang warga Jerman terselamat sementara jurutera Peter Ato Mayo, 53, arkitek Henry Loh, 42 dan seorang juruukur Siti Khuzaimah Anuar, 27, mati dalam kejadian itu.


Sumber : Utusan Borneo

AirAsia tubuh akademi badminton


PETALING JAYA - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia milik Tan Sri Tony Fernandes, terus memainkan peranannya dalam pembangunan sukan tanah air, terbaru dengan penubuhan Akademi Badminton AirAsia (AABA).

AirAsia selama ini telah pun menjalankan beberapa inisiatif dan antara paling berjaya pastinya melahirkan pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin, yang kini tergolong sebagai penunggang terkemuka dalam kategori berkenaan.

Kini, Tony dengan kerjasama bekas pemain negara, Jason Lim Tat Liong berhasrat mencari permata badminton negara untuk diasah menjadi 'Lee Chong Wei' baru.

"AirAsia sentiasa aktif terlibat dalam pembangunan belia dan sukan. Salah satu contoh terbaik pastinya peranan kami dalam membantu Zulfahmi Khairuddin sejak 2009 menerusi Program Wildcard AirAsia Malaysia.

"Tiga tahun berlalu, dia yang menunggang untuk Pasukan AirAsia-SIC-Ajo kini mencabar kelompok 10 teratas dalam Moto3 dan beberapa kali sangat hampir meraih podium pertama.

"Jadi dengan penubuhan AABA, kami berharap dapat membangunkan bakat seperti Fahmi, tetapi dalam sukan badminton dan semoga satu generasi baru pemain badminton bertaraf dunia dan juara akan dapat dilahirkan melalui inisiatif ini," kata Fernandes pada pelancaran AABA cawangan Petaling Jaya yang menggunakan pusat badminton SP Forum 19, di sini semalam.

Termasuk Petaling Jaya yang memiliki 16 gelanggang, AABA juga dibuka di Kepong (16) dan Klang (13) dengan 120 remaja berusia 12 tahun ke atas telah pun mendaftar sebagai ahli AABA.

Jason, yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan AABA, berkata: "Akademi ini lain daripada yang lain kerana kami membenarkan pelatih kami bertanding di peringkat antarabangsa. Kami menawarkan pelbagai pendedahan supaya mereka boleh matang dengan cepat.
"Saya tahu misi mencari Lee Chong Wei baru sukar, namun tidak mustahil."

Sumber : Utusan Malaysia

Tiga pelajar Nigeria ditahan, syabu bernilai RM400,000 dirampas


(gambar hiasan)

GEORGETOWN 27 Sept. - Polis menahan tiga pelajar Nigeria dan merampas dua kilogram syabu bernilai kira-kira RM400,000 di Pangsapuri Widuri, Butterworth Selasa lepas.

Turut dirampas ialah mata wang tempatan dan dolar Amerika yang keseluruhan bernilai RM34,000. Sebuah kereta Proton Saga juga disita.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata bertindak dari hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu rumah itu pada pukul 2.30 petang dan menahan tiga pelajar kolej swasta berkenaan yang berusia antara 24 dan 32 tahun.

"Dua dari mereka belajar di negeri ini dan seorang lagi belajar di Kuala Lumpur dan hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati salah seorang daripada mereka masuk negara ini sejak tujuh bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas program Polis Diraja Malaysia bersama pelanggan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan cara pembungkusan dadah itu, polis yakin ia telah diseludup dari luar negara dan dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan.

Abdul Rahim berkata menyalah guna visa pelajar untuk mengedar dadah didapati kembali popular di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu diminta menghubungi pihak polis.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia

Isu jet: Tanya pihak berkuasa, kata Tian Chua

Tian Chua


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Tian Chua mencabar kerajaan menyemak status jet peribadi dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) semasa lawatan ke Sabah baru-baru ini untuk pengesahan kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk nyatakan perkara itu.

Menurutnya, kerajaan dan orang ramai yang ingin mengetahui status jet tersebut perlu menyemaknya dengan pihak yang sepatutnya.

Katanya,"kita cabar kerajaan untuk semak daripada pihak berkuasa, tanya Menteri Pengangkutan, pergi DCA kalau nak tahu, siapa yang sewa, dan siapa yang uruskan.”

Sehubungan itu Ahli Parlimen Batu ini berkata: “Saya tak menyesal memuat naik gambar-gambar jet yang dinaiki Anwar kerana kita telus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam laporan media tempatan hari ini, Tian Chua dibidas kerana mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Anwar berhubung isu beberapa pemimpin pembangkang menaiki sebuah jet eksekutif ke Sabah baru-baru ini.

Teguran itu dibuatoleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang memberitahu wakil rakyat itu sepatutnya memastikan maklumat yang tepat berhubung jet berkenaan sama ada disewa atau ditaja sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskannya dan membuat kenyataan mengenai perkara ini. Jadi kita ikut kenyataan itu,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau mengetahui siapa pemilikjet tersebut, Tian Chua berkata: “Saya tahu tapi saya tak ada kuasa untuk nyatakannya...pergi tanya pihak yang lebih berkuasalah.”



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review