Saturday, September 29, 2012

FAS rantai Joseph, Ronny lanjut kontrak Alberts



KUCHING: Desas-desus mengenai perpindahan Joseph Kallang Tie ke Sarawak terjawab semalam apabila Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengesahkan pemain kebangsaan itu akan menyarung jersi Sarawak bagi musim depan.

Presidennya, Datu Sudarsono Osman berkata pihaknya telah mencapai persetujuan dengan pengurusan Terengganu bagi membolehkan Joseph kembali beraksi dengan skuad Ngap Sayot bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia 2013.

“FAS dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Joseph (Kallang) akan beraksi untuk Sarawak pada musim depan. Ini berita gembira untuk seluruh peminat pasukan Sarawak dalam misi mengembalikan maruah pasukan kita dalam kancah Liga Perdana 2013 nanti,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, di sini semalam.

Sudarsono berharap pengalaman yang dimiliki Joseph selama tiga tahun bersama pasukan Terengganu dan kebangsaan dapat membantu menguatkan pasukan Sarawak musim depan.

Beliau berkata Joseph adalah contoh terbaik untuk generasi muda (pemain) dan kualiti yang ada pada pemain berusia 25 tahun itu mampu membantu memantapkan pasukan Sarawak.

Sementara itu, FAS turut mengikat seorang lagi pemain berkaliber iaitu Ronny Harun yang dipinjam selama tiga bulan bagi mengharungi cabaran Piala Malaysia musim ini.

Pemain dari Sabah itu telah memikat hati ketua jurulatih, Robert Alberts setelah menunjukkan permainan yang memberangsangkan di bahagian pertahanan.

“Kehadiran Ronny amat diperlukan bagi menguatkan posisi pertahanan pasukan kita pada musim depan,” kata Sudarsono turut mengumumkan Alberts akan terus kekal menerajui Sarawak musim depan.

Menurutnya, FAS mempunyai pelan jangka masa panjang dengan jurulatih import itu dalam usaha mengembalikan kegemilangan Sarawak sekali gus kembali semula ke Liga Super 2014.

“Fokus kita adalah memantapkan pasukan untuk kembali ke Liga Super dan kita bersetuju untuk melanjutkan kontrak Alberts kerana diyakini mampu membantu kita mencapai sasaran itu,” katanya.

Sudarsono menambah FAS masih dalam proses mencari penyerang baik tempatan mahupun dari luar negara untuk mengisi kekosongan bahagian serangan setelah kontrak Joel Epalle ditamatkan.

Sementara itu, kontrak tiga pemain import tempatan dilanjutkan setelah mereka menunjukkan permainan yang baik sepanjang musim. Pemain-pemain itu ialah Ramesh Lai Ban Huat, Sani Anuar Kamsani dan Azizan Baba. Kontrak bagi semua pemain Sarawak masih dikekalkan.

Sumber : Utusan Borneo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review