Friday, September 28, 2012

Tentera gagal cari bekal selesa


Marteloto (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan, Idris Karim pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi. - Foto Owee Ah Chu
Kuala Lumpur: Juara Liga Perdana, Tentera mencipta kejutan selepas merekodkan kemenangan tipis 3-2 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. 


Di babak pertama, permainan cukup seimbang dan minit ke-13, Negeri Sembilan hampir mendahului perlawanan namun tolakan K Thanaraj menuju tepat ke tiang gol tuan rumah sebelum dikeluarkan pertahanan Tentera. 



Anak buah B Sathianathan kembali memperkemaskan serangan dan hampir menemui jaringan tetapi rembatan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-22 dinafikan oleh tiang gol menjadikan separuh masa pertama berakhir dengan 0-0. 



Bersambung babak kedua, Tentera bagaikan mendapat tonik baru apabila meraih dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi Christie Jayaselan pada minit ke-56 dan diikuti jaringan hasil rembatan pemain import, Bruno Marteloto pada minit ke-66 untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan 2-0. 

Libasan Shakir legakan Hobin Jang Hobin 

Mendahului permainan dengan dua gol menyaksikan Tentera sedikit memperlahankan rentak permainan dengan lebih banyak bertahan dan hanya melakukan serangan balas setiap kali pelawat hilang bola. 

Serangan demi serangan yang dilancarkan anak buah Mohd Azraai Khor akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan penjaga gol Tentera, Farizal Harun pada minit ke-73 terkena belakang Firdaus Azizul sebelum bola melantun masuk ke dalam gawang. 

Bagaimanapun, gol Firdaus itu kembali membangkitkan semangat Tentera untuk menambah jaringan dan hasilnya enam minit kemudian penyerang prolifik, Hairuddin Omar bijak melencongkan bola ke sebelah kiri gol Negeri Sembilan untuk gol ketiga pasukannya. 

Namun, dua minit sebelum perlawanan tamat, pemain gantian, Shakir Ali menjaringkan gol cantik bagi merapatkan jurang sekali gus membolehkan mereka bernafas sedikit sebelum beraksi perlawanan suku akhir kedua di laman sendiri, Selasa ini. 

Sumber : Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review