Thursday, October 4, 2012

Bahaya zina jadi budaya hidup

Mangsa rogol, pembuangan bayi menjadikan nasab keturunan terputus, bercelaru

Kebelakangan ini, perbuatan zina begitu berleluasa dalam masyarakat Muslim di negara ini. Statistik peningkatan kadar pengguguran, kehamilan remaja, kelahiran anak tak sah taraf, pembuangan bayi, jangkitan penyakit kelamin dan HIV/AIDS menjadi bukti kepada fenomena amat membimbangkan ini.

Bukan saja perzinaan dilakukan antara lelaki dan perempuan, malah gaya hidup homoseksualiti juga semakin menular dan meresap dalam masyarakat.

"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk" ( Al-Isra - 32)
Perkembangan tidak sihat ini harus segera ditangani dengan serius dan efektif oleh semua pihak, bukan hanya sekadar membuat komen sensasi atau menuding jari kepada beberapa kelompok tertentu saja.

Tentulah akal manusia yang waras dapat menilai betapa beratnya impak, kesan dan bahaya dosa besar seperti gejala perzinaan kepada kehidupan individu serta masyarakat berasaskan larangan keras Allah SWT.



gambar hiasan : kes khalwat menular di kalangan anak muda.

Allah SWT melarang daripada menghampiri dan mendekati zina, sekali gus memberi gambaran betapa serius kesannya kepada kehidupan manusia, baik kepada sesiapa yang melakukannya secara khusus, juga kepada ummah amnya.
Syed Qutb dalam Tafsir fi Zilalil Quran mengingatkan bahawa ayat larangan zina ini diapit dan disusun di antara dua ayat lain yang menyentuh perihal larangan membunuh anak lantaran takutkan kemiskinan dan larangan membunuh manusia tanpa alasan yang benar.

Beliau membuat kesimpulan, kesan perbuatan zina hampir sama dengan pembunuhan di mana secara tidak langsung, nasab keturunan manusia terputus dan menjadi bercelaru, di samping kerapnya perzinaan menyebabkan pembunuhan mangsa rogol serta bayi yang tidak berdosa.

Perzinaan akan berlaku apabila adanya tiga elemen iaitu pertama, individu yang mengajak kepada zina. Kedua, individu lain yang boleh diajak secara rela atau dipaksa melakukannya dan ketiga, adanya ruang, peluang serta kesempatan untuk melakukan perbuatan itu.

Apabila zina menjadi budaya, tiada lagi pertimbangan akal atau batasan nilai yang mampu menghalang individu terbabit menjauhi perbuatan maksiat itu. Zina hanya mampu dijauhi individu yang bijak dan sentiasa memperlengkap dirinya dengan benteng iman, takwa dan ihsan.

Kuatnya tarikan nafsu syahwat yang membuatkan manusia hilang pertimbangan hanya mampu disaingi oleh keyakinan mendalam hasil usaha serta mujahadah berterusan.

Kejahilan ilmu, kelunturan iman, kecuaian dan kelalaian membangun nilai serta harga diri adalah resipi utama mudahnya manusia melakukan maksiat yang akhirnya merosak dan menghancurkan kualiti kehidupannya bukan saja di dunia malah dibalas azab pedih di akhirat kelak.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: “Tidak akan mencuri seseorang pencuri jika ketika itu dia beriman, tidak akan minum arak seseorang itu jika ketika meminumnya dia beriman dan tidak akan berzina seseorang yang berzina sekiranya ketika itu dia beriman.”

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk membangun iman dan takwa demi menjamin kehidupan yang sentiasa diredai-Nya.

Penulis : Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review