Saturday, September 29, 2012

Chelsea lebur rekod Arsenal


Fernando Torres

LONDON - Chelsea mengekalkan penguasaan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meleburkan rekod tanpa kalah Arsenal dengan kemenangan 2-1 di Stadium Emirates, semalam.

Dalam pertembungan Battle Of London itu, pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny menjadi watak penting kepada kekalahan pasukannya apabila melakukan dua kesilapan yang membuka ruang kepada dua gol Chelsea yang dijaringkan oleh Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata, minit ke-53.

Koscielny gagal mengekang Torres pada situasi sepakan percuma apabila langsung tidak melihat bola yang diambil oleh Mata sebelum penyerang antarabangsa Sepanyol itu mudah menolak masuk ke dalam gawang Arsenal.

Serangan bertali arus Arsenal bagi mencari gol penyamaan membuahkan hasil melalui gerakan sebelah kanan Alex-Oxlade Chamberlain yang dapat disudahkan oleh Gervinho yang merembat cantik menewaskan Peter Cech pada minit ke-42.

Biarpun tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan, Chelsea kembali berada di hadapan melalui jaringan Mata pada minit ke-53, sekali lagi melalui situasi bola mati.

Walaupun bola rembatan Mata dilihat tidak berbahaya, tindakan Koscielny yang cuba mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya mengundang padah apabila dia gagal berbuat demikian lantas mengelirukan Vito Mannone sebelum bola melantun masuk dan kembali meletakkan Chelsea di hadapan.
Tersentak dengan jaringan itu, Arsenal meningkatkan tempo serangan, namun kecekapan Cech menafikan hajat tuan rumah apabila cemerlang menepis keluar tandukan Lukas Podolski pada minit ke-59.

Kemasukan Theo Walcott dan Olivier Giroud pada separuh masa kedua juga tidak mengubah banyak rentak perlawanan dengan pertahanan Chelsea yang diketuai John Terry terus kental bertahan.

Pada minit ke-73, Cech terus menjadi penghalang Arsenal apabila percubaan Giroud yang mengenai pertahanan Chelsea dapat ditepis oleh penjaga gol Republik Czech tersebut.

Giroud berpeluang menjadi wira Arsenal jika dapat memanfaatkan peluang terhidang pada minit terakhir permainan selepas menggelecek Cech tetapi rembatannya tersasar ke arah sebelah kiri sekali gus menafikan hajat Arsenal meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Sumber : Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review