Saturday, September 29, 2012

Amukan Suarez julang Liverpool

Luis Suarez (kanan) melompat meraikan jaringan gol menentang Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, semalam. Liverpool menang 5-2. - AFP

NORWICH - Ledakan hatrik Luis Suarez membantu Liverpool meraih kemenangan pada musim ini selepas lima perlawanan apabila penuh bergaya membenam Norwich 5-2 di Carrow Road dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.

The Reds telah memberikan amaran seawal minit kedua perlawanan lagi apabila meraih gol hasil rembatan Suarez dari luar kotak penalti yang terus menerjah ke penjuru kiri pintu gol Norwich sebelum menambah jaringan kedua pada minit ke-38.

Sebaik dua minit separuh masa kedua bermula, Liverpool terus mengukuhkan cengkaman melalui pemain pinjaman Real Madrid, Nuri Sahin yang mudah menolak masuk hantaran Suarez dari arah sebelah kiri bagi meletakkan kedudukan 3-0.

Suarez mengesahkan jaringan hatrik pada minit ke-57 berpunca gerakan bersama dengan Nuri Sahin sebelum Steve Morison merapatkan jurang buat Norwich empat minit kemudian.

Namun, jaringan Steven Gerrard pada minit ke-68 sudah cukup buat Liverpool mematikan sisa-sisa perjuangan Norwich biarpun berjaya memperoleh gol saguhati tiga minit sebelum permainan tamat melalui Grant Holt.

Perlawanan lain pula menyaksikan Chelsea mengekalkan status mereka di tangga teratas dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates hasil jaringan Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata pada minit ke-53 manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Gervinho, minit ke-42.
Gol lewat Edin Dzeko membantu Manchester City meraih kemenangan 2-1 ke atas Fulham selepas ketinggalan seawal minit ke-10 hasil jaringan penalti Mladen Petric sebelum disamakan Sergio Aguero, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Sumber : Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review