Thursday, September 27, 2012

Pandelela tidak sabar ke UM


KEJAYAAN MANIS: Gambar fail menunjukkan Pandelela meraikan kejayaannya memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu wanita di Sukan Olimpik London baru-baru ini. — Gambar AFP

KUCHING: Kesibukan latihan harian tidak akan menghalang fokus ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg terhadap pengajiannya yang akan bermula tahun depan.

Sebaliknya, beliau semakin bersemangat untuk memulakan hidup baharu sebagai atlet dan pelajar.

Ketika dihubungi semalam, Pandelela berkata fokusnya kini adalah memperbaiki pencapaiannya dalam ranking dunia dan menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya (UM).

“Rutin harian saya akan lebih sibuk bermula tahun depan dengan latihan dan pengajian. Namun, saya yakin mampu untuk mengimbangi kedua-duanya dengan baik,” katanya.

“Saya yakin keputusan untuk menyambung pengajian di UM adalah tepat kerana ia adalah salah sebuah universiti terbaik dalam dunia.”

Sebelum ini Pandelela ditawar menyambung pengajian di Australia namun memilih UM atas alasan dapat meneruskan latihan dengan lebih intensif dengan jurulatih Yang Zhuling.

Ketika ini, beliau sedang menjalani latihan dengan pembantu jurulatih Zhang Yu Kun di pusat akuatik Bukit Jalil kerana Zhuling sedang melatih rakan sepasukannya Traisy Vivien Tukiet di China.

Setiap hari, beliau memulakan latihan dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan disambung dari 2 petang hingga 7.30 malam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pandelela dan penerjun-penerjun kebangsaan akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Asia ke-9 2012 dari 15-25 November depan di Dubai.


Sumber : Utusan Borneo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review