Saturday, September 29, 2012

Tindakan tegas pengusaha naikkan harga makanan




Seorang pelanggan kedai runcit di Georgetown, Pulau Pinang memerhatikan harga baru gula RM2.50 sekilogram yang akan dikuatkuasakan seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2013, kelmarin. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha restoran atau kedai makan yang menaikkan harga makanan dan minuman susulan pengumuman pengurangan subsidi gula dalam Bajet 2013 semalam.

Koordinator Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM),Wan Noor Ab. Rahman berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memantau premis-premis yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Saya yakin selepas pengumuman bajet semalam, akan ada restoran atau kedai makan menaikkan harga makanan dan minuman.

"Kami akan memantau perkara ini dan jika ada yang berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang akan mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram bermula hari ini.
Menurut Wan Noor, tindakan tersebut bagaimanapun akan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"LPKPM hanya bertindak sebagai ketua operasi dan KPDNKK yang akan mengambil tindakan dari segi undang-undang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),Datuk Dr. Maamor Osman berkata, tindakan pengusaha restoran atau kedai makan yang menaikkan harga makanan dan minuman menunjukkan sifat sebenar mereka yang tamak haloba.

Menurutnya, pengguna perlu menggunakan kuasa mereka dengan tidak memilih restoran dan kedai makan yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Dengan langkah itu, kita dapat mengajar pengusaha restoran atau kedai makan supaya tidak tamak.
"Pada masa sama, pengguna perlu melaporkan kepada pihak berkenaan jika mengesan mana-mana pengusaha yang menaikkan harga," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review