SAFIQ Rahim (dua dari kanan) menarikan tarian Gangnam Style bersama rakan sepasukan meraikan jaringan pertama Selangor ketika menentang Johor FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Pasir Gudang, malam tadi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Red Giants bermula garang apabila Bosko Balaban hampir menggegar gawang lawan seawal minit pertama, namun diselamatkan penjaga gol M. Zamir Selamat.
Skuad Merah Kuning ternyata tidak gugup beraksi di depan ribuan penyokong Skuad Lebah yang memenuhi stadium apabila terus mendominasi aksi separuh masa pertama.
Gol pertama pasukan pelawat dihasilkan menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Safiq Rahim dari luar kotak penalti pada minit ke-11.
Mohd. Bunyamin Umar kemudiannya mengukuhkan kelebihan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim pada minit ke-20 melalui tendangan kencang.
Red Giants semakin selesa dengan jaringan ketiga apabila Zamir melakukan kesilapan setelah gagal menangkap kemas cubaan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-24.
Johor FC bangkit pada babak kedua dan merapatkan jurang gol menerusi Mohd. Akmal Mohd. Nor pada minit ke-52, yang mendapat hantaran ketua pasukan Md. Khairul Ismail.
Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-65 apabila Bunyamin dilayangkan kad kuning kedua.
Sumber : Utusan Online