BARCELONA, Sepanyol - Real Madrid kembali mengancam dalam saingan La Liga selepas menewaskan Rayo Vallecano 2-0, kelmarin.
Karim Benzema terlebih dahulu membuka jaringan buat Real seawal minit ke-13 selepas memanfaatkan hantaran Angel Di Maria.
Real terus meningkatkan keyakinan selepas gol kedua menyusul daripada Cristiano Ronaldo pada minit ke-70.
Kemenangan itu adalah yang kedua buat skuad bimbingan Jose Mourinho selepas lima perlawanan meletakkan mereka di tangga ketujuh dengan tujuh mata tetapi masih ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona yang menewaskan Granada 2-0 Sabtu lalu.
Real sebelum ini tewas dua kali dalam saingan La Liga, tumpas 1-2 menentang Getafe dan kalah kepada Sevilla 0-1, sebaliknya Barcelona memperoleh menang dalam lima perlawanan setakat ini.
Menghuni tangga kedua kedudukan La Liga ketika ini adalah Real Mallorca yang berkongsi 11 mata bersama Malaga dan Sevilla yang menduduki kedudukan ketiga dan keempat.
Sevilla memperoleh kemenangan 2-0 ke atas Deportivo Coruna pada perlawanan kelmarin selepas Mallorca menewaskan Valencia 2-0, sementara Malaga seri 0-0 ketika bertemu Athletic Bilbao Ahad lalu.
Sebelum ini Mourinho mengkritik prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas Real tewas kepada Getafe dan Sevilla, malah dia tidak menurunkan pemain tengah Sepanyol, Sergio Ramos pada perlawanan Liga Juara-Juara minggu lalu menentang Manchester City sebelum menyenaraikan kembali pemain itu Isnin lepas.
"Jika kami mempunyai sikap pemain seperti kemenangan hari ini (kelmarin) sudah tentu kita dapat meraih kemenangan ketika menentang Getafe dan Sevilla sebelum ini.
"Ia adalah perlawanan yang amat sengit buat kami dan mampu meningkatkan motivasi pemain selepas perlawanan ini.
"Adakah kami mempunyai pemain yang bagus? Ya kami mempunyai pemain yang bagus terutama untuk memberikan tekanan kepada pasukan lawan," kata Mourinho. - REUTERS
Sumber : Utusan Online