Wednesday, September 26, 2012

Walcott jemu main sayap, idam kemudi jentera depan


Theo Walcott berhajat untuk bermain sebagai penyerang selepas dikatakan jemu beraksi di bahagian sayap Arsenal. - AFP

LONDON - Pemain sayap England, Theo Walcott menegaskan, jika kontraknya bersama Arsenal adalah tentang wang semata-mata maka sudah lama dia meninggalkan kelab London itu.

Walcott yang kini berada di pertengahan kontrak bersama Gunners menegaskan, keutamaannya adalah bola sepak dan bukan soal wang.

Pemain berusia 23 tahun itu mahu menjelaskan kedudukan sebenarnya selepas akhir-akhir ini dikaitkan dengan spekulasi mahu meninggalkan Arsenal. Ia adalah sesuatu yang sudah lama ingin diluahkan olehnya.

"Saya bukan jenis pemain yang beraksi kerana wang. Semuanya adalah tentang bola sepak, saya sentiasa membuat keputusan berdasarkan kepentingan bola sepak,'' ujar Walcott.

Tegas Walcott, isu utamanya sekarang dia mahu mengubah selera menjadi penyerang selepas enam musim beraksi sebagai sayap kanan Arsenal.

"Saya tidak terpengaruh kerana wang. Ini adalah tentang memberi kepercayaan kepada saya untuk berada di depan (serangan). Saya diambil masuk sebagai penyerang dan sekarang sudah masanya saya kembali ke posisi sepatutnya.

"Saya telah belajar bermain di sayap. Kalau anda tengok semula apa yang saya lakukan tahun lalu, saya rasa saya boleh melakukan lebih banyak lagi. Saya harap saya diberi peluang kerana saya benar-benar terdesak untuk melakukannya,'' katanya.

Hanya diturunkan dalam satu perlawanan setakat ini, Walcott mengakui dia amat kecewa, malah yakin dia diketepikan bukan kerana prestasinya dalam bola sepak.

"Prestasi saya tidak merosot kerana tahun lalu saya banyak beraksi, malah dalam kebanyakan perlawanan saya membantu Robin (van Persie) menjaringkan begitu banyak gol, saya sendiri menjaringkan gol,'' tambahnya.

Walcott mahu bermain lagi dan dia amat menghargai sekiranya diberi peluang untuk beraksi di bahagian serangan dalam Piala Liga menentang Coventry City di Stadium Emirates, hari ini.

"Harap saya dapat peluang bermain di bahagian serangan kerana saya tahu apa yang boleh saya lakukan. Ia keputusan pengurus dan saya sentiasa menghormati beliau.

"Kalau saya dapat bermain di bahagian serangan, ia satu isyarat yang bagus. Saya sedia bermain di mana-mana posisi bersama pasukan tetapi akan sampai jua masanya saya harus bermain sebagai penyerang. Saya suka menjaringkan gol, saya sukan bermain."

Pada ketika ramai pemain telah meninggalkan Arsenal sejak beberapa tahun ini untuk meraih pendapatan lebih besar, Walcott sebaliknya berkata, dia tiada niat untuk melakukan perkara yang sama.

Katanya, ketika kali pertama menyertai Arsenal, dia juga menerima banyak tawaran tetapi telah menolaknya. Malah, pemain muda juga mendedahkan menerima tawaran pada pasaran perpindahan musim panas lalu, tetapi memilih untuk kekal di Arsenal. - AGENSI


Sumber : Utusan Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review