Monday, September 24, 2012

Chong Wei tebus kekecewaan

Lee Chong Wei mengibarkan Jalur Gemilang di atas podium selepas menerima hadiah kemenangan badminton Terbuka Jepun, semalam. - AFP


KUALA LUMPUR - Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akhirnya mengesahkan status mereka sebagai antara beregu campuran terbaik dunia selepas melakar sejarah merangkul kejuaraan Siri Super pertama pada Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Kejayaan pasangan muda negara itu kemudian disusuli oleh Datuk Lee Chong Wei, yang menebus kekecewaannya pada Sukan Olimpik London, bulan lalu dengan membawa pulang kejuaraan Terbuka Jepun buat kali ketiga selepas menumbangkan jaguh Thailand, Boonsak Posana dalam final perseorangan lelaki.

Begitupun kecemerlangan Peng Soon-Liu Ying dan Chong Wei gagal diteruskan oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, meskipun beregu utama negara itu berdepan peluang terbaik untuk membawa pulang gelaran Siri Super pertama dalam tempoh dua tahun ekoran ketiadaan beberapa pasangan utama dunia.
Turun sebagai calon utama untuk membawa pulang gelaran ekoran kekalahan pasangan utama Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen di pusingan awal, Kien Keat-Boon Heong bagaimanapun akur dengan kekalahan 16-21, 19-21 kepada pasangan Korea, Kim Ki-Jung-Kim Sa-Rang.

Seperti pasangan beregu Korea yang lain, Ki-Jung-Sa-Rang juga terus menjadi masalah besar buat Kien Keat-Boon Heong apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas turut tumpas pada Siri Super Terbuka Malaysia 2012.

Kekalahan ini menyaksikan Terbuka Malaysia 2010 kekal sebagai gelaran Siri Super terakhir berjaya dimenangi pasangan No. 7 dunia itu. Dalam tempoh dua tahun ini, Kien Keat-Boon Heong yang berada dalam pemerhatian sekadar memenangi dua kejuaraan Grand Prix Emas, kedua-duanya di Terbuka Malaysia 2011 dan 2012.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying mencatat satu lagi sejarah dalam karier mereka apabila dinobatkan sebagai juara Siri Super buat kali pertama selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Muhammad Rijal-Liliyana Natsir 21-12, 21-19 hanya dalam masa 33 minit.

Kejayaan itu menyusul sebulan selepas mereka melakar sejarah menjadi beregu campuran pertama Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Malah, ia merupakan perkembangan hebat dalam karier beregu No. 7 dunia itu sejak muncul juara Asia 2010.

"Saya sangat gembira kerana kami mencipta satu lagi sejarah tahun ini. Akhirnya kami berjaya juga membawa pulang gelaran Siri Super buat kali pertama dan ia sesuatu yang cukup hebat.

"Apa pun, saya tidak cepat berpuas hati dengan kemenangan ini, sebaliknya ia akan membuatkan saya dan Liu Ying lebih bersemangat untuk bekerja keras mencari kejayaan besar. Sasaran kami seterusnya adalah di Terbuka Denmark (16-21 Oktober), namun saya akan hadapi perlawanan satu demi satu,'' kata Peng Soon yang dihubungi di Tokyo.

Chong Wei pula membuktikan Tokyo sentiasa menjadi gelanggang bertuah buatnya apabila merangkul kejuaraan ketiga dengan menundukkan Ponsana 21-18, 21-18.

Jaguh No. 2 dunia itu turut muncul juara Terbuka Jepun 2007 dan 2010 tetapi kalah kepada pemain China, Chen Long di final tahun lalu.



Sumber : Utusan Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review