KUALA LUMPUR - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) bakal bertanding jawatan Lembaga Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Kongres badan sukan dunia tersebut pada 31 Oktober hingga 4 November ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Tengku Abdullah sendiri pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis MHC, semalam dan pencalonan tersebut telah diserahkan pada awal bulan ini.
"Kita sudah bersedia untuk menganjurkan kongres tersebut dan saya juga telah menimbang untuk posisi Lembaga Eksekutif FIH, saya hanya mahu memberikan perkhidmatan dalam sukan hoki," katanya di sini, semalam.
Jelas Tengku Abdullah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jawatan tersebut adalah caranya untuk memberikan sumbangan dalam sukan hoki pada peringkat antarabangsa.
Ia adalah kali pertama benua Asia menjadi tuan rumah kongres tersebut sejak ia diadakan pada 1975, dalam masa yang sama Mesyuarat Agung Tahunan MHC pula akan diadakan pada 20 Oktober di Kuantan.
Tengku Abdullah juga berkata, pasukan kebangsaan akan dibentuk seramai 30 pemain di bawah kendalian jurulatih baru, Paul Revington menjelang dua kejohanan utama hujung tahun ini Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina (November) dan Piala Kejuaraan Enam Negara Asia di Doha, Qatar, (Disember).
"Pemilihan pemain untuk ke kedua-dua kejohanan tersebut akan ditentukan oleh jurulatih baru, Revington dan kita berharap dapat memperbaiki kedudukan terdahulu walaupun akan beraksi menentang pasukan lebih baik.
"Kita mensasarkan untuk menduduki empat tempat terbaik bagi kejohanan tersebut dan pemain mampu memberikan aksi yang lebih bagus," katanya.
Sementara itu Tengku Abdullah berkata, bagi kejohanan Piala Razak 2012 kali ke-15 Oktober ini, pemain yang mempunyai kad pengenalan negeri asal berhak diberi keutamaan mewakili negeri masing-masing.
"Bagaimanapun MHC tidak mewajibkan pemain tersebut perlu mewakili negeri kelahiran mereka, ia terpulang kepada pasukan dan pemain itu sendiri untuk memilih pasukan mana yang akan diwakili menjelang kejohanan tersebut," katanya.
Sumber : Utusan Online
Sumber : Utusan Online