Rafael (tengah) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan Robin Van Persie (kanan) ketika penjaga gol Liverpool, Pepe Reina(kiri) berjalan kehampaan ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam. REUTERS
LIVERPOOL - Malang berterusan buat Liverpool pada musim baharu ini apabila terus buntu mencapai sebarang kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kalah 1-2 di tangan musuh ketat, Manchester United di Anfield.
Jaringan penalti kontroversi yang diambil Robin Van Persie pada minit ke-81 memusnahkan hajat The Kops meraih sekurang-kurangnya satu mata selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 52 minit ekoran Jonjo Shelvey menerima kad merah pada minit ke-38.
Ia berikutan sepakan penalti tersebut yang menjadi penentu kemenangan Red Devils dibantu oleh keputusan pengadil yang kurang tepat kerana ulang tayang perlahan menunjukkan Antonio Valencia seolah-olah sengaja menjatuhkan badan apabila dirapati Glenn Johnson.
Liverpool memulakan babak kedua dengan langkah begitu menyakinkan apabila memecahkan kebuntuan pada minit ke-46 melalui jaringan Steven Gerrard.
Hasil hantaran silang pemain gantian Jesus Fernandez Saezdi sebelah kiri jelas mengkucar-kacirkan pertahanan United sebelum bola hadir tepat di kaki Gerrard yang tenang merembat masuk bagi meletakkan Liverpool di hadapan.
Bagaimanapun, United tidak cepat melatah dengan menyamakan kedudukan lima minit kemudian dengan gerakan solo Rafael da Silva melalui satu rembatan menarik dari sudut sukar yang mengenai tiang sebelum masuk ke dalam gawang Liverpool.
Kekalahan itu meletakkan Liverpool kini berada dalam zon penyingkiran dengan hanya mengutip dua mata daripada lima perlawanan sementara United terus mengekori Chelsea di tangga teratas dengan dipisahkan satu mata.
Perlawanan itu juga turut menarik perhatian apabila Luis Suarez dan Patrice Evra yang terlibat dalam insiden perkauman musim lalu akhirnya bersalaman sebelum perlawanan bermula sekali gus menamatkan persengketaan mereka berdua selama ini. - AGENSI
Sumber : Utusan Online