Monday, September 24, 2012

Jom sertai Futsal Parlimen Betong pada 6-7 Oktober ini

ISMAIL MOHAMAD


BETONG, 24 SEPT 2012: Pemain-pemain dan pasukan futsal sekitar Betong dipelawa menyertai kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia (1B1M) Peringkat Parlimen Betong 2012 yang bakal berlangsung di Stadium Mini Betong pada 6 dan 7 Oktober depan.

Pengerusi Pengelola, Ismail Mohamad berkata dua kategori turut dipertandingkan iaitu lelaki terbuka dan wanita berusia 15 tahun ke atas.

Bagi kategori lelaki, yuran kemasukan ditetapkan sejumlah RM50 untuk satu pasukan, manakala bagi kategori wanita RM30. Tarikh tutup penyertaan pada jam 12 tengah hari, 5 Oktober ini.

“Taklimat dan cabutan undi akan diadakan pada hari yang sama pada jam 2 petang di Pejabat Tenaga Kerja Bahagian Betong,” katanya.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM500 berserta piala dan medal untuk juara kategori lelaki. Tempat kedua menerima RM300 berserta piala dan medal, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing meraih RM150.

Bagi kategori wanita hadiah yang bakal dibawa pulang ialah wang tunai RM300 berserta piala dan medal untuk johan, RM200 beserta piala dan medal (kedua) dan RM100 untuk tempat ketiga dan keempat.

Ismail memberitahu bahawa penganjuran kali ini akan memberi peluang kepada pemain-pemain untuk diketengahkan bagi mewakili Parlimen Betong ke pertandingan futsal peringkat kebangsaan.

“Kejohanan ini merupakan sesi pemilihan untuk pemain membawa cabaran Parlimen Betong mewakili mana-mana kejohanan yang bakal dipertandingkan pada tahun ini.

“Semua pemain berpeluang membantu pasukan Betong membawa pulang piala kemenangan sebagai penghargaan penyertaan Parlimen Betong mengungguli kejohanan peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ismail menjelaskan pemain-pemain atau pasukan yang telah menyertai mana-mana kejohanan Futsal 1B1M di parlimen lain tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

“Ini dikhuatiri akan berlaku pertembungan dengan pasukan terbabit dalam memilih pemain yang sama untuk mewakili parlimen masing-masing,” katanya.

Mereka yang berminat bolehlah mendapatkan borang penyertaan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong (083-472950) atau menerusi Ismail Mohamad di SMK St Augustine Betong atau menghubungi talian 014-5855580 untuk sebarang pertanyaan.


Sumber : Utusan Borneo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review