Tuesday, September 25, 2012

KWSP lancar kempen galak ahli menamakan waris kepada simpanan



KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan satu lagi kempen meningkatkan kesedaran pencarum untuk menamakan waris bagi simpanan mereka bermula semalam hingga 19 Okt.

Kempen itu melibatkan penggunaan akhbar dan radio, promosi di kaunter perkhidmatan dan Pusat Pengurusan Panggilan KWSP serta melalui laman Facebook rasmi KWSP dan Twitter (KWSPBuzz), kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar.

“Mesej kempen kali ini mengingatkan ahli mengenai pentingnya penamaan dalam memberikan kasih sayang kepada keluarga dan betapa sukarnya tanggungan apabila berlaku kematian.

“Oleh itu, amatlah penting ahli yang belum membuat penamaan sentiasa diingatkan agar mereka membuat penamaan dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, ahli boleh menamakan sesiapa sahaja untuk simpanan tetapi mereka dinasihat supaya menamakan waris terdekat seperti pasangan dan anak-anak.

“Bagi ahli yang beragama Islam, penama hanya bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan mengikut Hukum Faraid,” katanya.

Nik Affendi juga menasihatkan supaya ahli membuat penamaan ketika masih  sihat untuk mengelak percubaan menipu oleh sesetengah pihak yang cuba mempengaruhi keputusan ahli ketika sakit.

Menurutnya ahli hanya perlu melengkapkan borang KWSP 4 dan menghantar sendiri borang itu ke cawangan KWSP terdekat. — Bernama



Sumber - Utusan Borneo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review