Tuesday, September 25, 2012

78 bot Taiwan ke Diaoyu

Sebahagian daripada 78 bot nelayan Taiwan, memulakan pelayaran ke gugusan kepulauan di Laut China Timur di pelabuhan Suao, daerah Ilan, timur laut Taiwan, semalam. - REUTERS

SUAO, Taiwan 24 Sept. - Jumlah kapal nelayan Taiwan yang belayar menuju ke gugusan kepulauan di Laut China Timur terus meningkat dalam usaha mereka mengukuhkan tuntutan ke atas pulau yang dikuasai Jepun yang turut dituntut China.

Kira-kira 78 buah bot nelayan Taiwan, hari ini memulakan pelayaran ke kepulauan tersebut ketika ketegangan di wilayah maritim itu semakin memuncak ekoran demonstrasi bantahan terhadap Jepun di sini berhubung tuntutan bertindih ke atas pulau itu, semalam.

Menurut sebuah kumpulan aktivis, flotila bot nelayan tersebut belayar dari pelabuhan Suao di daerah Ilan, timur laut Taiwan dan jumlah kapal menyertainya dijangka meningkat.

“Saya pasti, lebih banyak bot nelayan dari kawasan lain akan menyertai kami,’’ kata jurucakap Persatuan Nelayan Suao, Lin Cheng-an kepada AFP.

Jumaat lalu, sebuah kapal Taiwan menyertai kira-kira 12 kapal China belayar menuju pulau Uotsurijima untuk membuat bantahan di perairan berhampiran kepulauan yang dimiliki Jepun di Laut China Timur.
Tindakan kumpulan nelayan Taiwan itu bagi memperlihatkan tuntutan negara ini ke atas kepulauan yang tidak berpenghuni itu yang dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun, terletak kira-kira 400 kilometer dari ibu negeri Okinawa, Naha dan 200 kilometer dari Taiwan.

“Oleh itu, kami berjanji untuk melindunginya walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa,’’ kata Pengerusi Persatuan Nelayan Suao, Chen Chun-sheng.

Menurut Cheng-an, flotila bot nelayan Taiwan itu dijangka tiba di pulau-pulau berkenaan esok dan akan belayar di dalam zon wilayah sekitar 12 batu nautika, mengelilingi pulau-pulau tersebut. - AFP


Sumber : Utusan Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review