Thursday, October 4, 2012

Bahaya zina jadi budaya hidup

Mangsa rogol, pembuangan bayi menjadikan nasab keturunan terputus, bercelaru

Kebelakangan ini, perbuatan zina begitu berleluasa dalam masyarakat Muslim di negara ini. Statistik peningkatan kadar pengguguran, kehamilan remaja, kelahiran anak tak sah taraf, pembuangan bayi, jangkitan penyakit kelamin dan HIV/AIDS menjadi bukti kepada fenomena amat membimbangkan ini.
Bukan saja perzinaan dilakukan antara lelaki dan perempuan, malah gaya hidup homoseksualiti juga semakin menular dan meresap dalam masyarakat.

"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk" ( Al-Isra - 32)
Perkembangan tidak sihat ini harus segera ditangani dengan serius dan efektif oleh semua pihak, bukan hanya sekadar membuat komen sensasi atau menuding jari kepada beberapa kelompok tertentu saja.

Tentulah akal manusia yang waras dapat menilai betapa beratnya impak, kesan dan bahaya dosa besar seperti gejala perzinaan kepada kehidupan individu serta masyarakat berasaskan larangan keras Allah SWT.



gambar hiasan : kes khalwat menular di kalangan anak muda.

Allah SWT melarang daripada menghampiri dan mendekati zina, sekali gus memberi gambaran betapa serius kesannya kepada kehidupan manusia, baik kepada sesiapa yang melakukannya secara khusus, juga kepada ummah amnya.
Syed Qutb dalam Tafsir fi Zilalil Quran mengingatkan bahawa ayat larangan zina ini diapit dan disusun di antara dua ayat lain yang menyentuh perihal larangan membunuh anak lantaran takutkan kemiskinan dan larangan membunuh manusia tanpa alasan yang benar.

Beliau membuat kesimpulan, kesan perbuatan zina hampir sama dengan pembunuhan di mana secara tidak langsung, nasab keturunan manusia terputus dan menjadi bercelaru, di samping kerapnya perzinaan menyebabkan pembunuhan mangsa rogol serta bayi yang tidak berdosa.

Perzinaan akan berlaku apabila adanya tiga elemen iaitu pertama, individu yang mengajak kepada zina. Kedua, individu lain yang boleh diajak secara rela atau dipaksa melakukannya dan ketiga, adanya ruang, peluang serta kesempatan untuk melakukan perbuatan itu.

Apabila zina menjadi budaya, tiada lagi pertimbangan akal atau batasan nilai yang mampu menghalang individu terbabit menjauhi perbuatan maksiat itu. Zina hanya mampu dijauhi individu yang bijak dan sentiasa memperlengkap dirinya dengan benteng iman, takwa dan ihsan.

Kuatnya tarikan nafsu syahwat yang membuatkan manusia hilang pertimbangan hanya mampu disaingi oleh keyakinan mendalam hasil usaha serta mujahadah berterusan.

Kejahilan ilmu, kelunturan iman, kecuaian dan kelalaian membangun nilai serta harga diri adalah resipi utama mudahnya manusia melakukan maksiat yang akhirnya merosak dan menghancurkan kualiti kehidupannya bukan saja di dunia malah dibalas azab pedih di akhirat kelak.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: “Tidak akan mencuri seseorang pencuri jika ketika itu dia beriman, tidak akan minum arak seseorang itu jika ketika meminumnya dia beriman dan tidak akan berzina seseorang yang berzina sekiranya ketika itu dia beriman.”

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk membangun iman dan takwa demi menjamin kehidupan yang sentiasa diredai-Nya.

Penulis : Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

SUMBER : BERITA HARIAN

Saturday, September 29, 2012

FAS rantai Joseph, Ronny lanjut kontrak Alberts



KUCHING: Desas-desus mengenai perpindahan Joseph Kallang Tie ke Sarawak terjawab semalam apabila Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengesahkan pemain kebangsaan itu akan menyarung jersi Sarawak bagi musim depan.

Presidennya, Datu Sudarsono Osman berkata pihaknya telah mencapai persetujuan dengan pengurusan Terengganu bagi membolehkan Joseph kembali beraksi dengan skuad Ngap Sayot bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia 2013.

“FAS dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Joseph (Kallang) akan beraksi untuk Sarawak pada musim depan. Ini berita gembira untuk seluruh peminat pasukan Sarawak dalam misi mengembalikan maruah pasukan kita dalam kancah Liga Perdana 2013 nanti,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, di sini semalam.

Sudarsono berharap pengalaman yang dimiliki Joseph selama tiga tahun bersama pasukan Terengganu dan kebangsaan dapat membantu menguatkan pasukan Sarawak musim depan.

Beliau berkata Joseph adalah contoh terbaik untuk generasi muda (pemain) dan kualiti yang ada pada pemain berusia 25 tahun itu mampu membantu memantapkan pasukan Sarawak.

Sementara itu, FAS turut mengikat seorang lagi pemain berkaliber iaitu Ronny Harun yang dipinjam selama tiga bulan bagi mengharungi cabaran Piala Malaysia musim ini.

Pemain dari Sabah itu telah memikat hati ketua jurulatih, Robert Alberts setelah menunjukkan permainan yang memberangsangkan di bahagian pertahanan.

“Kehadiran Ronny amat diperlukan bagi menguatkan posisi pertahanan pasukan kita pada musim depan,” kata Sudarsono turut mengumumkan Alberts akan terus kekal menerajui Sarawak musim depan.

Menurutnya, FAS mempunyai pelan jangka masa panjang dengan jurulatih import itu dalam usaha mengembalikan kegemilangan Sarawak sekali gus kembali semula ke Liga Super 2014.

“Fokus kita adalah memantapkan pasukan untuk kembali ke Liga Super dan kita bersetuju untuk melanjutkan kontrak Alberts kerana diyakini mampu membantu kita mencapai sasaran itu,” katanya.

Sudarsono menambah FAS masih dalam proses mencari penyerang baik tempatan mahupun dari luar negara untuk mengisi kekosongan bahagian serangan setelah kontrak Joel Epalle ditamatkan.

Sementara itu, kontrak tiga pemain import tempatan dilanjutkan setelah mereka menunjukkan permainan yang baik sepanjang musim. Pemain-pemain itu ialah Ramesh Lai Ban Huat, Sani Anuar Kamsani dan Azizan Baba. Kontrak bagi semua pemain Sarawak masih dikekalkan.

Sumber : Utusan Borneo

Spurs tamat kemarau kemenangan di Old Trafford


MANCHESTER 30 Sept. - Tottenham Hotspur menamatkan penantian 23 tahun untuk mencipta kemenangan di Old Trafford apabila bergaya menewaskan Manchester United di gelanggang keramat mereka 3-2 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal hari ini.

Gol-gol jaringan Jan Vertonghen, Gareth Bale dan Clint Dempsey memberikan mata berharga buat kelab itu yang kini di bawah bimbingan pengurus Andre Villas Boas.

Kelab London itu naik ke tangga kelima liga manakala United pula turun ditangga ketiga, empat mata di belakang pendahulu Chelsea. - AFP

Sumber : Utusan Malaysia


Chelsea lebur rekod Arsenal


Fernando Torres

LONDON - Chelsea mengekalkan penguasaan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meleburkan rekod tanpa kalah Arsenal dengan kemenangan 2-1 di Stadium Emirates, semalam.

Dalam pertembungan Battle Of London itu, pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny menjadi watak penting kepada kekalahan pasukannya apabila melakukan dua kesilapan yang membuka ruang kepada dua gol Chelsea yang dijaringkan oleh Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata, minit ke-53.

Koscielny gagal mengekang Torres pada situasi sepakan percuma apabila langsung tidak melihat bola yang diambil oleh Mata sebelum penyerang antarabangsa Sepanyol itu mudah menolak masuk ke dalam gawang Arsenal.

Serangan bertali arus Arsenal bagi mencari gol penyamaan membuahkan hasil melalui gerakan sebelah kanan Alex-Oxlade Chamberlain yang dapat disudahkan oleh Gervinho yang merembat cantik menewaskan Peter Cech pada minit ke-42.

Biarpun tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan, Chelsea kembali berada di hadapan melalui jaringan Mata pada minit ke-53, sekali lagi melalui situasi bola mati.

Walaupun bola rembatan Mata dilihat tidak berbahaya, tindakan Koscielny yang cuba mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya mengundang padah apabila dia gagal berbuat demikian lantas mengelirukan Vito Mannone sebelum bola melantun masuk dan kembali meletakkan Chelsea di hadapan.
Tersentak dengan jaringan itu, Arsenal meningkatkan tempo serangan, namun kecekapan Cech menafikan hajat tuan rumah apabila cemerlang menepis keluar tandukan Lukas Podolski pada minit ke-59.

Kemasukan Theo Walcott dan Olivier Giroud pada separuh masa kedua juga tidak mengubah banyak rentak perlawanan dengan pertahanan Chelsea yang diketuai John Terry terus kental bertahan.

Pada minit ke-73, Cech terus menjadi penghalang Arsenal apabila percubaan Giroud yang mengenai pertahanan Chelsea dapat ditepis oleh penjaga gol Republik Czech tersebut.

Giroud berpeluang menjadi wira Arsenal jika dapat memanfaatkan peluang terhidang pada minit terakhir permainan selepas menggelecek Cech tetapi rembatannya tersasar ke arah sebelah kiri sekali gus menafikan hajat Arsenal meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Sumber : Utusan Malaysia

Amukan Suarez julang Liverpool

Luis Suarez (kanan) melompat meraikan jaringan gol menentang Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, semalam. Liverpool menang 5-2. - AFP

NORWICH - Ledakan hatrik Luis Suarez membantu Liverpool meraih kemenangan pada musim ini selepas lima perlawanan apabila penuh bergaya membenam Norwich 5-2 di Carrow Road dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.

The Reds telah memberikan amaran seawal minit kedua perlawanan lagi apabila meraih gol hasil rembatan Suarez dari luar kotak penalti yang terus menerjah ke penjuru kiri pintu gol Norwich sebelum menambah jaringan kedua pada minit ke-38.

Sebaik dua minit separuh masa kedua bermula, Liverpool terus mengukuhkan cengkaman melalui pemain pinjaman Real Madrid, Nuri Sahin yang mudah menolak masuk hantaran Suarez dari arah sebelah kiri bagi meletakkan kedudukan 3-0.

Suarez mengesahkan jaringan hatrik pada minit ke-57 berpunca gerakan bersama dengan Nuri Sahin sebelum Steve Morison merapatkan jurang buat Norwich empat minit kemudian.

Namun, jaringan Steven Gerrard pada minit ke-68 sudah cukup buat Liverpool mematikan sisa-sisa perjuangan Norwich biarpun berjaya memperoleh gol saguhati tiga minit sebelum permainan tamat melalui Grant Holt.

Perlawanan lain pula menyaksikan Chelsea mengekalkan status mereka di tangga teratas dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates hasil jaringan Fernando Torres pada minit ke-20 dan Juan Mata pada minit ke-53 manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Gervinho, minit ke-42.
Gol lewat Edin Dzeko membantu Manchester City meraih kemenangan 2-1 ke atas Fulham selepas ketinggalan seawal minit ke-10 hasil jaringan penalti Mladen Petric sebelum disamakan Sergio Aguero, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Sumber : Utusan Malaysia

Maut dipijak gajah



GERIK: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui maut dalam keadaan menyayat hati apabila bahagian dadanya cedera parah akibat dipijak seekor gajah, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi di Felda Tawai 1, mangsa yang dikenali sebagai Ngatmin, 44, ditemui terbaring di ladang getah dengan dadanya cedera parah oleh seorang rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, siasatan awal polis turut menemui beberapa jejak dan kesan tapak kaki gajah di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Kami difahamkan, mangsa adalah pekerja kontrak Felda yang juga penoreh getah di ladang itu sejak 15 hari lalu.

“Kami menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan, termasuk pihak pengurusan ladang, supaya melaporkan segera kehadiran haiwan itu bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Lelaki dayus



KUALA LUMPUR: “Suami yang tidak marah, malah merelakan isteri melakukan pekerjaan maksiat dan haram di sisi agama, adalah lelaki dayus. Dalam Islam, lelaki dayus tidak boleh masuk syurga,” kata penceramah bebas, Zawiyah Hassan.

Beliau yang juga mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sungguhpun suami meredai kerja isteri, ia tetap tidak berguna jika pekerjaan itu jelas melanggar hukum Allah.

“Suami sepatutnya mendidik isteri menjadi lebih baik, baru rumah tangga diberkati Allah. Setiap orang Islam perlu sedar, sebagai hamba, kita diikat dengan peraturan ditetapkan Allah, namun yang dilihat kini, semakin ramai mempermainkan perintah-Nya.

“Jiwa orang yang banyak berbuat dosa dan maksiat akan sentiasa terdorong melakukan perbuatan sama berulang kali atau perbuatan lebih teruk lagi, melainkan jika diberi hidayah Allah atau bertaubat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai cara hidup segelintir suami isteri di ibu kota yang ‘sekepala’ menjalani kehidupan yang disifatkan golongan terbabit sangat bahagia biarpun diselubungi noda berikutan mengutamakan hiburan dan mendapatkan wang dengan cara mudah.

Malah, pasangan baru berkahwin, Man dan Liza, turut mengaku tidak kisah dengan pekerjaan Liza sebagai pelayan pelanggan (GRO) selain diberi keizinan suaminya kerana pendapatannya lumayan hingga mencecah lebih RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, Liza baru berhenti kerja sebagai GRO sejak sebulan lalu kerana kini hamil lima minggu.

Zawiyah berkata, contoh kehidupan demikian menunjukkan pasangan itu atau pasangan seumpamanya menganggap seolah-olah Allah tiada kaitan langsung dengan hidup mereka kerana melakukan apa saja sesuka hati tanpa batasan agama.

“Nasihat saya, segera bertaubat nasuha selagi masih ada kesempatan dan cari rezeki halal kerana rezeki Allah sangat luas di dunia ini. Sanggupkah kita melahirkan zuriat dengan perangai sama kelak?” katanya.


Sumber : Harian Metro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Review