KUALA LUMPUR, 21 SEPT 2012: Sudah semestinya penyanyi wanita ini diburu wartawan mengenai status terbarunya yang kini solo, namun Yunalis Zarai atau Yuna ketika ditemui nyata tetap kelihatan tenang menerima keputusan tersebut, apatah lagi bila berpisahannya dengan pengacara Qi Razali adalah disebabkan kerana komitmen serta mahu menumpukan perhatian terhadap karier seni masing-masing.
Lebih-lebih lagi Yuna sendiri. Banyak perkara yang perlu ditumpukannya dan banyak tugas yang perlu dilaksanakannya setelah dia melebarkan kerjaya nyanyian serta seni muziknya di luar negara.
Paling utama, bila dia tercalon dalam Best Asian Act untuk MTV European Music Awards yang akan berlangsung pada November ini. Tetapi penyanyi ini dilihat tidak menaruh harapan untuk menang atau meraih anugerah di dalam majlis anugerah tersebut kerana baginya calon peserta lain nyata lebih hebat.
"Sudah semestinya saya teruja dengan pencalonan ini dan ia luar daripada jangkaan saya. Ini mungkin disebabkan saya sering bekerjasama dengan MTV dan mereka sudah mengenali saya.
"Namun begitu saya tidak menaruh harapan untuk berjaya membawa pulang trofi tersebut kerana pencalonan yang lain pula hebat-hebat. Tetapi terpilih untuk dicalonkan sudah cukup membuatkan saya gembira.
"Perkara seperti ini adalah peluang yang sangat baik dan memberikan semangat untuk saya berusaha lebih mengembangkan karier dan berharap dapat mengharumkan nama Malaysia,"tambahnya lagi yang tidak akan hadir untuk anugerah tersebut kerana akan berada di tanahair untuk pelbagai lagi acara muzik disini.
Bercerita mengenai perkembangan terkininya,Yuna bakal berlepas pulang ke Amerika Syarikat tidak lama lagi. Buat masa akan datang ini dia akan banyak dilihat membuat siri jelajah dan mempromosikan lagu-lagunya di stesen radio.
"Memandangkan musim sekarang ini musim luruh jadi jadual saya akan dipenuhi dengan siri jelajah ke seluruh Amerika Syarikat. Saya juga akan banyak membuat persinggahan ke stesen radio bagi mengadakan pertemuan dengan mereka sebagai langkah promosi album saya.
"Pada November saya akan kembali ke tanahair untuk konsert Homecoming Yuna dan pelbagai lagi acara muzik disini seperti Urbanscapes dan AIM, jadi mungkin saya akan menumpukan kepada latihan untuk memberikan persembahan yang terbaik,"tambah penyanyi yang tinggi lampai yang sudah banyak menyertai festival muzik antaranya Loolapalooza.
Sumber: Murai