MIRI: Selaku pasukan tuan rumah, Miri meletakkan harapan tinggi untuk melangkah ke pentas akhir saingan Kejohanan Piala Sarawak 2012 yang bakal berlangsung 1 hingga 7 Oktober depan.
Jurulatihnya, Sukran Jaraie berkata meskipun kejohanan kali ini bakal menyaksikan pertembungan hebat daripada pasukan-pasukan namun Miri juga tetap bersedia menghadapi cabaran tersebut.
“Kita telah menjalani latihan secara intensif dan semua pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi kejohanan Piala Sarawak 2012 di Miri nanti,” katanya di sini semalam.
Sukran memberitahu bahawa pasukan Miri dibarisi beberapa pemain berpengalaman yang pernah menyarung jersi pasukan Sarawak, selain penampilan beberapa pemain baharu berpotensi.
“Kita percaya dengan gabungan pengalaman bekas pemain negeri dan pemain muda, skuad kita mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan pasukan lain terutamanya dalam saingan Kumpulan C,” katanya.
Pada kejohanan kali ini, Miri diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Sibu, Young Croc A dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sukran menarik perhatian pasukan Miri mungkin disaing hebat oleh pasukan Young Croc A yang turut berada dalam kumpulan sama dibarisi pemain berpengalaman.
Beliau memberitahu selaku tuan rumah kejohanan, sudah semestinya skuad Miri meletakkan harapan tinggi sekurang-kurang melangkah ke perlawanan akhir sepanjang kejohanan tujuh hari itu.
“Kita telah menguji beberapa pemain muda tempatan dan kebanyakan mereka mempunyai kemahiran di posisi tertentu cuma perlu digilap dan diasah lagi,” katanya.
Miri bakal menentang pasukan Sibu dalam perlawanan pertama Kumpulan C dan akan menjadi medan kepada mereka untuk menguji prestasi semua pemain.
Dalam Kumpulan B pula menyaksikan pertembungan pasukan Samarahan, Sri Aman, Kapit dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Manakala Kumpulan A bakal disaingi Bintulu, Sarikei, Betong dan Young Croc.
Sumber : Utusan Borneo